My Islamic Diaries: 2011

cerita pengembaraan seorang insan


Sunday, January 30, 2011

~Kelebihan Umat Rasulullah Menurut Pandangan Nabi Adam.~

Disebutkan bahwa Nabi Adam A.S telah berkata, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.

Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, tetapi Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.

Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga, tetapi umat Muhammad S.A.W durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.A.W.
(∪ ◡ ∪) terima kasih sudi menjejak.moga dapat manfaat (∪ ◡ ∪)

jihad kampung

Merah padam muka Majid menahan malu setelah penat berdemonstrasi bersama tiga lagi rakannya di depan kedai kasut cap buaya. Baru sahaja tiba di perkampungannya, seorang lelaki kelihatan tergesa-gesa berlari ke arah mereka. Nampaknya seperti ada berita besar yang ingin disampaikan.
"Majid! Majid!" jerit lelaki tersebut yang dikenali sebagai Mat.
"Apa dia?"tanya Majid.
"Ni ada berita terbaru yang aku dapat. Dalam perisian Macrosoft, ada bendera Zionis. Sekampung dah heboh pasal ni!" kata Mat termengah-mengah.
"Ya ke? Jahanam Zionis! Dalam perisian Macrosoft pun ada propaganda mereka ni! Dasar laknatullah!" tegas Majid dalam nada marah seolah-olah terlupa tindakan memalukan dirinya di hadapan kedai kasut cap buaya tempoh hari.
"Tu yang aku bagitau kau Majid, aku dengar ada pejabat Macrosoft baru buka kat pekan kita. Hajat hati aku, nak serang je pejabat haram tu,"kata Mat.
"Tunggu dulu, kalau nak serang, kita kena susun strategi. Kita kumpul dulu pemuda-pemudi harapan kampung kita kat Balai Raya. Bila kita dah kumpul kekuatan, baru la kita serang. Kau ni pun satu, nak serang sorang-sorang, apalah bengap sangat kepala otak kau ni," kata Majid kepada Mat.
Di hadapan kira-kira 50 pemuda-pemudi harapan kampung, Majid berucap berkobar-kobar menaikkan semangat membenci Zionis.

"Takbir!" jerit Majid.

"Allahuakbar!" semua pemuda bertakbir serentak. Terasa aura jihad mula meresap ke dalam diri pendekar muda harapan kampung.

"Kita dapat tahu bahawa ada perisian Macrosoft yang menyimpan lambang Zionis. Setelah apa yang Zionis buat pada konvoi kemanusiaan, kali ni dalam komputer kita sendiri ada propaganda Zionis! Kita tak boleh biarkan perkara ni berlaku! Menurut Mat, ada pejabat Macrosoft baru dibuka di pekan kita. Sebagai ketua pemuda harapan kampung kita, aku menyeru petang ni kita bersama-sama pergi buat bantahan di depan pejabat Macrosoft. Setakat ni ada persoalan?" tegas Majid.

"Kenapa kita cepat menggelabah bila dengar perkataan Zionis? Lambang Zionis tu sebahagian daripada perisian Macrosoft. Tak ada kerja Zionis nak duduk dalam komputer kita tu," kata Parman yang turut menghadiri perhimpunan tersebut.

"Kau ni, tak kisahlah ada kerja ke tak yang penting, mereka ni musuh Islam. Kita wajib buat bantahan. Dah terang-terang ada lambang Zionis, buat apa nak simpan?" kata Majid dengan nada yang tegas.

"Membuat bantahan tanpa menyiasat terlebih dahulu adalah satu kebodohan dan tindakan memalukan diri. Jangan cepat cuak bila dengar perkataan Zionis, jangan tunjukkan kebodohan kita bila berhadapan dengan benda-benda macam ni." kata Parman.

"Ahhh, dari dulu kau memang tak pernah setuju dengan aku. Apa yang aku buat semua salah. Semuanya nak kena siasat, kalau macam tu kau je la pergi tanya sendiri orang yang buat Macrosoft tu!" tegas Majid.

"Aku tertanya-tanya kalau Zionis pun buat kempen yang sama macam kita buat sebab dalam perisian Macrosoft tu ada clip art Kaabah. Tak ke mereka berdemo macam yang kita buat? Entah-entah umat Islam je yang melatah tak tentu pasal," kata Parman dengan nada sindiran.

"Sahabat-sahabat sekalian, abaikan apa yang si Parman cakap. Dia memang macam ni, otak dia pun dah dibasuh dengan propaganda Zionis. Petang ni lepas Zohor, kita bertolak ramai-ramai ke pekan. Setuju atau tidak?" jerit Majid.

"Setuju!" jerit sebilangan kecil dari pemuda-pemudi harapan kampung. Sebahagian yang lain sependapat dengan Parman. Kebanyakan yang mengikut Majid hanya mereka yang sekolah tahap SPM.

"Lantak kau la Majid, aku bukan apa, aku tak nak kau malukan diri sendiri macam hari tu. Clip art tu bukannya terbatas dengan Zionis je, Buddha pun ada jugak. Kenapa bila sebut Zionis, semua sepakat berparanoid. Ada beza antara paranoid dengan sensitif. Benda tu hanya sekadar clip art. Kalau nak boikot, jangan lupa buang sekali komputer IBM kamu tu. Zionis yang buat tu." kata Parman menyindir.

"Ingat ya sahabat-sahabat, petang ni lepas Zohor kita ramai-ramai berarak ke pekan. Kita buat bantahan ramai-ramai," kata Majid menghiraukan kata-kata Parman.

"Sekarang, kita boleh bersurai. Petang ni berkumpul di hadapan Balai Raya ni. Aku sendiri yang akan mengetuai demo ni," kata Majid.
Kira-kira 15 orang pemuda pemudi berkumpul di hadapan Balai Raya. Ada antara mereka yang membawa sepanduk "Boikot Macrosoft."
"Bagus, bagus. Kali ni ramai yang ikut. Jom kita berarak ke pekan," arah Majid. Semua mereka berarak sambil bertakbir dengan penuh semangat.
Sampai sahaja di pekan, mereka kehairanan kerana tidak ramai orang lalu lalang di pekan tersebut. Hanya beberapa peniaga Melayu saja yang sedang membuat urus niaga.
"Apa pasal sunyi je pekan ni hari ni?" tanya Mat kehairanan.
"Sunyi sebab semua orang dah tahu kita akan berdemo hari ni. Aura jihad kita kuat sampai semua orang takut," kata Majid bangga.
Akhirnya mereka tiba di hadapan Kedai Macrosoft. Kelihatan kedai tersebut lenggang, tidak berpenghuni. Kalau ada pun, hanyalah peminta sedekah yang duduk di tepi deretan kedai.
"Kenapa kosong je kedai ni?" tanya Majid. Semua mereka terpinga-pinga kehairanan.
"Haiya, lu talak tau ka, hali ni hali Ahad, semua kedai tutup maaa..." kata seorang peminta sedekah yang agak berusia.
Dengan muka yang merah padam, mereka kembali ke kampung. Sepanjang perjalanan, mereka hanya tunduk memandang tanah.
Sekian.
(∪ ◡ ∪) terima kasih sudi menjejak.moga dapat manfaat (∪ ◡ ∪)

Apabila Yang Simple Jadi Bersimpul

Bertahun dahulu, di tempat kerja saya yang lama, saya bertanya seorang teman, "Jam berapa engkau sampai ke pejabat?"
Jawabnya, "Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan..."
Keterangannya saya pintas dengan soalan, "Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai ke pejabat. Itu aje!"
Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Mungkin, orang begini biasa menjawab soalan yang pendek dengan jawapan yang panjang kerana inginkan markah yang lebih ketika menjawab soalan peperiksaan. Tetapi, ia juga menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.
Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut? Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.
Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan. Dalam sesebuah majlis, kita yang memberi ucapan akan menyebut kesemua mereka yang kita anggap sebagai hadirin yang penting.
Kalau boleh, kesemua mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk dan Datin disebut. Masalahnya, bila kita menyebut nama dan gelaran seseorang, kita khuatir mengecilkan hati orang yang tidak kita sebut. Akhirnya kita menyebut nama kesemua dif kehormat yang ada di pentas. Sepuluh minit terbuang begitu sahaja.
Walhal, jika kita memulakan ucapan dengan menyebut nama pengerusi majlis dan merangkumkan kesemua para dif kehormat sebagai para hadirin, itu sudah memadai dan tiada nama sesiapa pun yang tidak disebut atau tersasul gelarannya. Dengan cara itu, kita telah menjimatkan sepuluh minit dan tumpuan para hadirin dapat dikekalkan.
Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.
Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.
Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya. Misalnya, buku 'Memotivasi Keintelektualan Fikrah Remaja,' boleh sahaja menjadi 'Membina Remaja Berfikir.' Sekali lagi kita menyukarkan sesuatu yang seharusnya mudah.
Seolah-olah, para intelektual di bidang masing-masing mahu mengeksklusifkan ilmu di kalangan mereka sahaja. Sehinggakan orang biasa yang ingin memahami sesuatu bidang itu bingung dan lambat memahami sesuatu bidang itu. Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.
Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri (yang sebenarnya hanya kertas tisu), beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang (yang mana hadiahnya juga sepaket tisu). Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.
Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.
Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.
Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.
(∪ ◡ ∪) terima kasih sudi menjejak.moga dapat manfaat (∪ ◡ ∪)

©All Right Reserved MYISLAMICDIARIES.com