Sebagai manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, adakalanya
pada satu saat kita merasai diri tidak diperlukan. Walhal sebagai
manusia yang beragama islam, dipenuhi dengan iman, seharusnya tidak
boleh merasai demikian kerana berputus asa di dalam diri adalah sifat
syaitan.
Sifat berputus asa wajar dijauhkan terutama ke atas dai'e atau
pendakwah itu sendiri agar amanah menarik minat manusia ke jalan tuhan
sentiasa teguh.
Hari ini, sebahagian pendakwah merasakan diri mereka disisihkan.
Mengajak manusia ke jalan tuhan sudah tiada sambutan. Tetapi sebenarnya
untuk menyeru manusia melakukan "amal makruf, nahi mungkar" bukanlah
dengan melihat sambutan yang menggalakkan. Tetapi perlu dilihat sifat
yang berterusan juga istiqamah di dalam perjuangan.
Ingatlah, buka natijah yang Allah tanyakan, tetapi Allah akan tanya
adakah kita laksanakan atau tinggalkan. Justeru, sebagai seorang dai'ie
perlulah mengatur beberapa strategi dalam dakwah kerana dakwah itu
sendiri penuh dengan cabaran yang tersedia.
Bukankah matlamat dakwah itu mengajak dan menyeru manusia agar
mengesakan Allah SWT dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh
Allah? Maka, sudah pastilah ada yang menentang, buat tidak endah dan
tidak kurang juga ada yang cuba mensabotaj.
Mengambil Ibrah Dari Sirah Nabi
Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita perlu mencontohi bagaimana
dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berdakwah dari
Mekah hingga ke Madinah membentuk manusia, untuk menjadi insan yang
bertaqwa disisi Allah SWT. Bertahun-tahun lamanya Nabi Muhammad
berdakwah barulah manusia pulih sepenuhnya. Membentuk umat islam yang
kuat dan utuh, disamping pengabdian kepada Allah SWT.
Dakwah yang dimulakan pula bukan mengambil masa sehari atau dua hari.
Bermulanya dakwah secara sembunyi, kemudian secara terangan. Tetapi
pada ketika itu umat islam hebat ditentang. Akhirnya baru umat islam
memperoleh kemenangan. Begitu juga pendakwah sekalian, masa untuk
membentuk manusia bukannya singkat, ianya lama dan perlu mempunyai
proses yang bertingkat-tingkat.
Bagaimana strategi dakwah baginda yang mula secara sembunyi, tetapi
akhirnya di terangkan untuk menegakkan syiar islam. Jadi
berperingkat-peringkat dalam berdakwah perlu ada, jangan tergopoh gapah
dalam usaha memperbaiki manusia dan diri sendiri juga.
Kerana mengambil ibrah dari sirah nabi sendiri yang berdakwah
bertahun-tahun. Menunjukkan kesabaran di dalam dakwah itu perlu tinggi,
untuk pendaie' tempuhi. Selain itu, menyusun strategi dengan mantap,
memberi implikasi dalam diri untuk mengenal pasti sasaran sebenar
pendakwah perlu tujui.
Dakwah Itu Seni
Seni adalah satu bentuk subjektif, sebagaimana juga dakwah. Dengan
dakwah perlukah menyangka bahawa, hanya berceramah sahaja? Sememangnya
tidak! Sesungguhnya, dakwah itu terlalu banyak cabangnya. Justeru, bukan
hanya bercakap sahaja, dakwah juga boleh digunakan dengan pelbagai
cara.
Misalnya, berdakwah dengan nyanyian, penulisan, perfileman, ataupun
dengan akhlak yang baik, dan lain-lain lagi. Yang penting semuanya
menjurus kita supaya kembali kepada islam. Segala apa kebaikkan yang
dilakukan semuanya dikirakan dakwah, yang penting dasarnya kembali
kepada islam.
Signifikannya, usahlah kita melihat dakwah itu hanya dengan skop yang
kecil. Teliti dan perhalusi, dalam usaha membentuk manusia bukannya
dengan berbicara sahaja, hatta dengan akhlak juga boleh mendorong orang
lain tertarik dengan islam.
Islam itu hakikatnya indah, di
make up lagi dengan dakwah yang kreatif dan menarik akan menampakkan lagi betapa keindahan islam itu benar-benar indah dan suci.
Da'ie Itu 'Penyeri'
Walaupun sinonim dan kebiasaannya yang berdakwah itu di anggap
ustaz/ustazah atau imam, namun hakikatnya kita semuanya adalah
dai'e. Islam agama yang mengajak manusia bertuhankan satu iaitu menyeru
umat manusia akan mengesakan Allah SWT dan menyakini hanyasanya Nabi
Muhammad itu pesuruh Allah di bawah panji "
La Ilaha Illah Muhammadar Rasulullah". Oleh itu, seorang pendakwah perlulah membawa imej islam dengan sebaiknya bagi menjaga kebenaran dan keindahan islam.
Tanpa da'ie dakwah itu tidak beerti. Justeru, dai'e itu umpama
'penyeri' di dalam dakwah itu sendiri. Untuk menyantuni manusia mengajak
ke jalan kebenaran. Bersikap kreatif dalam menyerikan dapat
menyumbangkan idea pembentukkan sahsiah di dalam diri manusia.
Selain itu, pendakwah yang menjadi pernyeri perlu memecah tradisi,
dengan melemparkan segala kejumudan yang ada, melihat dengan penuh
kondisi dan sisi. Bagi mencari ruang yang ada untuk memenuhi hati
manusia mengajak kembali kepada tuhan yang Maha Esa.
Jangan hanya kejumudan yang ada sehingga tidak melihat
uslub (cara) dakwah yang betul, dan
waqi'
(sesuai pada sesuatu keadaan, tempat dan masa) menyebabkan manusia yang
mahu berjinak-jinak kembali dengan islam, ataupun yang mahu mencari
kebenaran islam memandangan serong pada sesetengah pendakwah yang
syadid pada tempat yang tidak sepatutnya.
Hal ini kerana adanya kepelbagaian mad'u iaitu orang yang di dakwah,
mempunyai fikrah dan latar belakang yang berbeza-beza. Justeru, sudah
tentulah pelbagai respon dan reaksi yang akan diterima oleh seorang
da'ie. Telah berkata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan
Muslimin,
"kita adalah pendakwah bukan penghukum!"
Maka marilah kita koreksi kembali, pendakwah yang
berstyle itu
juga perlu ada bagi menyerikan lagi dakwah yang sediakala. Kreativiti
dalam berdakwah dapat menarik minat manusia untuk kembali kepada jalan
kebenaran dan menerima keindahan islam itu tanpa sedikitpun ada rasa
terpaksa.
Siapa Pendakwah?
Namun sebagai umat manusia, adakalanya merasakan diri tidak layak dan
belum cukup sempurna di dalam melaksanakan dakwah. Kita akan
melaksanakan dakwah itu hanya apabila diri kita cukup dengan ilmu agama.
Justeru, dalam kehidupan itu kita hanya membiarkan dakwah dilakukan
oleh mereka yang bergelar imam, ustaz atau ustazah.
Mungkin kita terlupa dengan ayat yang berbunyi;
"Sesiapa yang mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah, dan dia adalah dai'e"
Daripada ayat ini, jelas menunjukkan setiap muslim itu adalah
pendakwah, yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah, menyakini
Muhammad Kekasih Allah, yang mengajak manusia mengerjakan kebaikan dan
menyeru meninggalkan larangan Allah SWT.
Lantaran itu, untuk berdakwah usah tunggu sempurna. Teruskan usaha,
mencari ilmu dan tingkatkan iman kepada Allah SWT. Sentiasalah merasai
diri ini penuh dengan noda dosa dan merasa kurang di hadapan Allah SWT.
Sesungguhnya dengan hadirnya rasa kerendahan diri kepada Allah SWT akan
mendorong kita untuk lebih berusaha untu memperbaiki diri seterusnya
berlumba-lumba di dalam melakukan amal kebaikan.
(∪ ◡ ∪) terima kasih sudi menjejak.moga dapat manfaat (∪ ◡ ∪)